REVIEW: MIM RILIS 'JAGAT' DAN 'GASAR' - ***** *** *****! INSYA-ALLAH


Teks: Zhafirin Zulkifli
Foto: MIM

Kugiran post-rock asal Kuala Lumpur, MIM mempertaruhkan dua single baharu, ‘Jagat’ dan ‘Gasar’, sebagai pembuka jalan kepada album akan datang, ‘Arakian’.

Menerusi ‘Jagat’, sorotan pastinya terletak pada lirik hasil ciptaan Ell, dengan pematahan-pematahan cukup bijak, teratur, kemas dan ditambah pula dengan lontaran setiap patah bait lirik oleh sang vokalis begitu jelas, tidak terasa ‘kosong’ atau anti-makna.

Ketegasan lirik dan lontaran suara bagaimanapun diganggu oleh kekemasan keseluruhan bunyian trek ‘Jagat’, setidaknya bagi aku, MIM masih bermain selamat, masih tidak berani mencampakkan diri ke dalam lumpur.

Ya. Mungkin aku boleh mendengarkan ‘Jagat’ lebih dari tiga kali, namun tidak dapat dinafikan ada ruang begitu besar hingga menyebabkan terasa seakan ada kelompongan. Entah itu daripada ketukan dram atau kekemasan produksi. Hanya MIM boleh menjawab persoalan berkenaan.

Kelompongan serta kekemasan ‘Jagat’ terlalu suci untuk sebuah kugiran post-rock, lebih-lebih lagi tertulis di profil band mereka perkataan emotive.


Dalam masa sama, aku yakin MIM lebih tahu jalan perlu ditempuh dan pertaruhan ‘Jagat’ bukanlah pilihan negatif, sebaliknya, ia membuka selera kepada pendengar baru atau menjadi modal kepada jurnalis-jurnalis lain menghamburkan pujian.

Bagi trek ‘Gasar’pula, sedikit jelas perubahan musikalisasi MIM. Ya. Sedikit. Jika anda mendengar semula ‘Runut Dalam Jeda’, ia kedengaran lebih fuzzy, tolak-tambah punk rock, ambien, tetapi menerusi ‘Gasar’, tidak pelik untuk mengatakan bahawa MIM lebih berfokuskan kualiti produksi berbanding memperincikan karakter MIM sebagai sebuah band.

Sekali lagi, hanya MIM boleh menjawab mengenai perihal berkenaan. Semoga jawapan dari mereka melegakan telinga dan tekak.

Menampilkan DJ UNO dalam lagu ‘Gasar’ ini adalah tepat, bersesuaian dengan citarasa MIM masa kini (mungkin). Setidaknya, ‘Gasar’ datang dengan sebuah pilihan penambahan instrumen lain dan harus dipuji bass line Kamil Gondang.

Sekiranya perlu memilih, 'Gasar' kedengaran lebih berahi. Kenyataan berahi bukanlah hanya berlandaskan bunyian tetapi kekemasan yang MIM sangap-kan berada di lagu yang tepat.

Mendengar kedua-dua single baharu MIM membuatkan kita terfikir atau setidaknya menimbulkan rasa curiga, seperti apa album ‘Arakian’ apabila dikeluarkan kelak.

Sisi positifnya, jika aku meletakkan diri di posisi pendengar baharu, ‘Jagat’ dan ‘Gasar’ adalah ‘barang’ baek untuk ditawarkan kepada kita semua. Hal-hal lain, insya-Allah…..


 

Comments