Kali pertama aku melarikan diri dari menyambut hari jadi adalah ketika di usia tujuh tahun, di gereja yang ditutup dengan awan gelap.
21 tahun selepas itu, sekali lagi aku perlu melarikan diri
dari menyambut hari jadi, mungkin di antara waktu tersebut, tiada siapa peduli
aku tidak menghadiri mana-mana majlis hari jadi.
Berbeza sejak tiga bulan terakhir ini kerana keluarga
semakin bertambah besar sejak akad dilafaz. Bermakna, tidak boleh tidak untuk
menyembunyikan diri.
Apa pun itu, pada akhirnya aku lebih mengenali diri sendiri
lebih baik dari semua orang. Jika sebulan lalu berjaya terbang ke Kuching, hari
jadi yang seterusnya di rumah ini membuatkan aku gelisah.
Orang kata, jodoh di tangan tuhan. Dia sebaik-baik
perancang. Hasilnya, aku dipertemukan dengan sebuah kugiran bernama Akad Fana,
tertera di sebuah poster gig ‘Sink or Swim, Vol 1’.
Entah kenapa di antara nama-nama kugiran lain; Ame Morte,
Dasawarsa MY, Fictions, Heavener dan The World Ends With You, Akad Fana paling
menarik perhatian.
Dipendekkan cerita, aku segera mencari tahu tentang Akad
Fana.
Lebih mengejutkan adalah Akad Fana di anggotai oleh susuk
yang aku cukup kenali perjalanannya dalam seni dan lebih menarik, gig berkenaan
adalah debut untuk Akad Fana.
Seniman yang aku maksudkan adalah Pakya – fotografer, pelaku
seni rupa, kurator, penyajak dan sekarang tampil sebagai vokalis kugiran art screamo.
Pada awal perkenalan kami, Pakya banyak berkongsi tentang
karya-karyanya di atas kanvas – berpameran hingga ke Jogja, menjadi kurator
untuk pameran kawan-kawan dan sempat meriliskan sebuah CD bertajuk ‘Bebas’ –
menghimpunkan empat buah sajak yang dibalut dengan bunyian.
Sejak awal lagi, aku cukup yakin Pakya bukanlah seseorang
yang boleh duduk diam. Di sebalik susuk bercermin mata, rambut sepanjang bahu,
sentiasa mengenakan kasut Doc Mart itu, Pakya kini mencari ‘rumah’ baru untuk karyanya
berteduh.
Di gig malam tersebut, tiada apa mengecewakan walaupun ada satu dua perkara sedikit merencatkan perjalanan gig tersebut. Tapi ya, siapa peduli, jika malam itu aku dikelilingi orang-orang baru, muzik yang bagus, hangat dipeluk malam dan bekalan rokok yang cukup.
Mengulas Akad Fana, jangkaan juga tidak terlalu tinggi
kerana ia adalah debut buat mereka meskipun jauh lebih dari kata bagus. Ruang dan
peluang, aku rasa, itu yang mereka perlukan.
“Hari ni debut Akad Fana, hari ni jugak la tekak aku nak
sakit,” kata Pakya dalam loghat utara.
“Aku tak peduli semua tu, aku nak tahu, kenapa kau ada dalam
Akad Fana?” tanya aku.
Pakya merapatkan sedikit mukanya ke arah aku.
“Tak dengaq weh. Haa? Oh? Dunia sekarang penuh kemarahan,
perang, orang-orang macam kita termasuk aku pula sedang cari identiti diri.”
“Aku nak explore lebih dari apa yang aku boleh tumpahkan
atas kanvas, atas kertas dan Akad Fana mungkin cara terbaik aku berkarya,
bermuzik. Dengan Akad Fana, aku nak luahkan lebih lagi, tentang kemarahan,
manusia, meaning of life,” jelas Pakya.
“Teenage angst. Lirik Akad Fana adalah dari sajak-sajak aku,
maksud aku, sajak-sajak baru aku, bukan dalam CD ‘Bebas’, yang hang komen
terlalu lemah berdiri sebagai sebuah sajak, jadi, lirik-lirik lagu Akad Fana
lebih melankolik, sebenaqnya.
“Ada inspirasi dari buku juga, salah satunya ‘A Happy Death’,
karya Albert Camus, selebihnya ada cinta, politik, renungan aku terhadapa apa
yang terjadi sekeliling kita.”
“Percayalah kepada aku, tiada perkara seperti keseksaan,
penyesalan, memori…semuanya dilupakan termasuklah cinta. Itulah yang menyedihkan
tentang kehidupan dan juga keindahannya. Hanya ada satu cara untuk memandang
semua, satu cara yang datang kepada kau sekali sekala. Jadi bagus jikalau kau
mempunyai cinta dalam kehidupan, untuk memiliki sebuah semangat kesedihan. Memberi
kau alibi kepada hilangnya harapan yang samar di mana kita semua rasakan.”
“Patrice Mersault?”
Pakya mengangguk. Tersenyum. Asap rokok di hembus ke udara
langit malam. Tanpa sedar, anggota Akad Fana yang lain turut berada di kawasan
merokok.
“Semuanya bermula dari dua beradik ni, Irfan dan Imran,” sambung
Pakya.
“kemudian barulah aku, Hafiz dan Pravind join Akad Fana.”
Irfan mengatakan bahawa idea asal adalah untuk bermain muzik
seperti hardcore punk tetapi berubah apabila tiga yang lain menyertai Akad Fana.
“Tak fair sebenarnya nak letak Akad Fana sebagai screamo –
terlepas dari apa yang kau percaya – sebab Akad Fana ada masukkan elemen
ambien, post-rock-ish, so rasanya art-screamo adalah paling sesuai,” ujar Irfan.
Tambah Imran pula, “kita bukan nak memandai-mandai nak bagi
definisi art-screamo tapi kitorang cuba nak kembangkan lagi apa yang kitorang
main sekarang, jadi still banyak kena explore lagi, so berikan kami ruang serta
peluang untuk itu.”
“Aku suka nama Akad Fana, dari artwork kau?” kata aku sambil
menunjuk ke arah Pakya.
“Ya, pasal nama tu kau kena tanya artis ni,” celah Irfan diselang
ketawa.
“Ya, Zhaf. Dari artwork aku sebenaqnya. Bahasa mudah dia
patah hati. Kalau nak huraikan satu persatu, akad tu perjanjian, hat fana pulak,
sementara. Macam kita, manusia, kita kat sini (dunia) pun sementara ja, apatah
lagi perjanjian, lebih pendek dari umur. Everything is temporary.”
“Seperti mana maksud Akad Fana, kita percaya dengan karya
kita, kita nak berkarya selagi kita boleh keluarkan karya, selebihnya tentang
waktu,” Imran mengakhiri.
Akad Fana mempersembahkan lima buah lagu malam itu, 'Patrice Mersault', 'Mana Bunga', 'Sajak dari Para Mangu', 'Khatam' dan 'Pekik'.
"Tolong laung!" jerit Pakya berlatarkan raungan distorsi.
Comments
Post a Comment