CLARIESSA KESULAI: TENTANG SAJAK DAN RUMAH


Teks: Zhafirin Zulkifli
Foto: Md. Fariq Khir


Ingatan terakhir tentang Sibu adalah ketika road trip ke sana pada Februari 2020 hanya untuk mencuba mee kampua semata-mata. Ada tiga jenis mee kampua yang dicuba. Kampua putih, merah dan satu lagi dah lupa namanya. Selain mee kampua, hal lain masih dalam ingatan adalah siaran berita mengenai penyebaran Covid-19. Pada masa tersebut, semua orang masih tenang. Langkah Sheraton barangkali masih diperingkat awal. 

Ingatan lain adalah bermimpi pada malam terakhir di Sibu. Seorang penulis mengalami masalah alat kelamin mencari kucingnya yang hilang di lorong gelap, di tempat pekerja seks mencari nafkah. Ada seorang pak cik tua mengatakan bahawa kucing tersebut lebih mengetahui cerita-cerita pekerja seks di lorong itu.  Mimpi tersebut masih ada dalam buku nota, walaupun dah berdebu, di bawah timbunan buku-buku Paul Auster, Knausgaard, Fante, tenggelam oleh senja Mochtar Lubis.

Di sekitar tahun 2020 juga, aku mengenali Clariessa Kesulai buat pertama kali melalui hantaran di Facebook dengan paparan foto tangkap layar dari akhbar dengan prosa bertajuk 'Keabadian Perawan Musim'. Tercatat di akhbar tersebut; Clariessa Kesulai ialah seorang penulis, penyajak, dari Sibu.

Musim lama tertunda, aku kembali pulih dalam lorong-lorong yang kehilangan tanda jernih, bukan tersesat bagi sebuah kepulangan pasti bermukim di puncak lengkap, naluriku pernah  menghafalmu sebagai embun berahi membasah nafas pagi, mengarca tubuh siang menjadi patung kenangan, waktu lainnya aku nikmati berulang-ulang, lantas ia ialah sebuah malam gelap gagal menyembunyikan bayang; amat jarang dan sepasang hujan tanpa guruh namun cukup buat tujuh lengkung pelangi berwarna penuh jendela mataku bertukar disihir ketika nekad mencintaimu lebih anggun usai terkeluar dari perut racun, angin selingkuh liar mengisi dedahi hari mendatang apabila tengkujuh keliru untuk memilih malam atau siang, malah aku lincah mengekor mata panas agar kesetiaan berbahang dalam nafas

Keabadianku tidak gugur dalam lanjut usia dingin persis sepotong pawaka marak dalam kencang angin, dirimu merenung kagum tika lusuh terserlah pada sepatu dan busana kudandan berwajah anggun, dan aku pulang bukan sebagai wanita, namun bidadari mencatat peluang telahmu lewat laluinya, bukan terakhir kali, hadirku akan kembali bersenggama atas perawan musim tanpa dirimu damba di pucuk ingin.

Dua tahun kemudian, kami berbalas mesej peribadi melalui Facebook. Ada beberapa soalan klise diajukan. "Kamek cuba menulis dua genre tok, cerpen dan puisi sewaktu menghampiri tahun peperiksaan SPM, ya pun kerana cabaran guru disebabkan karya tersebut mok dijadikan bahan untuk ruangan sastera majalah sekolah. Dari sia, mula kenal sikit apa itu sajak yang merupakan salah sebuah puisi moden. Namun, masa ya nang menulis aja, jadi penulis sik terfikir lalu," Cerita Clariessa Kesulai.

"Buku atau karya pihak lain memang sesuatu sumber utama ketika menulis. Apabila jiwa makin akrab mahu menulis terutama sajak yang jadi tumpuan penuh ketika itu, nang kamek selalu fokuskan bacaan karya Chairil Anwar di mana semua tahu bahawa puisi Chairil sesuatu monumental dalam suara perjuangannya sebagai seorang nasionalis. Malah, pembaca sendiri jadi terbawa-bawa dengan semangat dan kepercayaan penulis itu,"

'Kamek yakin juak bahawa perasaan jadi penulis datang daripada jiwa seseorang itu sendiri yang inginkan karyanya menjadi berhasil ataupun lebih baik daripada karya yang dikagumi, setidak-tidaknya orang terdekat menjadikannya satu ingatan dan mengenal sosok baru tentang diri kamek. Kamek rasa ya antara sebab nok terus mengasuh diri kamek jadi penulis kinek dan mungkin untuk masa akan datang kelak," Tambah Clariessa soal buku atau karya yang menjadikannya seorang penulis.

Secara peribadi, antara sajak yang jadi kegemaran adalah 'Sajak di Rumah'. Clariessa Kesulai seperti seorang pelukis figura. Agak sukar untuk menjelas dari sudut 'sajak termenung', Clariessa jauh dari 'sajak termenung' itu. Setidaknya itu yang dirasakan ketika membaca karya-karya Clariessa.

Salak anjing
menepuk punggung malam
mimpi-mimpi siap dibancuh
atas kasur kita
segelasmu turun naik 
ke tengkuk
segelasku mula menafsir
roti di piring pagi esok



Clariessa menjelaskan bahawa sajak tersebut ditukang sebelum melelapkan mata dan dari segi proses kreatif, ia sangat sederhana. "Kamek ingat bahawa suasana malam itu sungguh sesuai dikaitkan dengan apa yang ada di hadapan kamek. Bermula dengan mencatat unsur bunyi dan benda yang hadir, mengikat kesatuan diksi-diksi terpilih lantas membawanya kepada suntingan bahasa yang harmoni dengan suasana," Kata Clariessa.



"Kamek lalui persekitaran nok sederhana ajak namun sudah tentu dihiasi pengalaman dan tuntutan perasaan yang akan selalu diingati. Daripada pertumbuhan dengan hubungan sekeliling , pendidikan dan tempat kerja nang mencetuskan banyak emosi. Setiap orang pasti temui poor performance untuk usaha dan langkah mereka, namun bagi kamek biarlah perkara itu tidak berakhir begitu saja dengan kekecewaan. Maka, diluahkan kepada penulisan sudah memandai. Jadi , pembaca yang pernah baca karya kamek terutamanya puisi, mungkin mereka akan temui berbagai rencah dan rasa,"

kamek sedang damaikan sesuatu yang kurang dan gagal terlaksana selama ini. Satu lagi, persekitaran kadangkala datangkan kejutan demi kejutan kepada penulisan, jadi sik dapat diramal juak apa akan jadi seterusnya,"

Masih mengenai rumah. Ramai penyair memilih berdiam di rumah atau di ruang kamar. Salah satu sajak tentang rumah yang paling aku ingat dan suka adalah sajak Chairil Anwar 'Rumahku'.

Rumahku dari unggun-timbun sajak
Kaca jernih dari luar segala nampak

Kulari dari gedong lebar halaman
Aku tersesat tak dapat jalan

Kemah kudirikan ketika senjakala
Di pagi terbang entah ke mana

Rumahku dari unggun-timbun sajak
Di sini aku berbini dan beranak

Rasanya lama lagi, tapi datangnya datang
Aku tidak lagi meraih petang
Biar berleleran kata manis madu
Jika menagih yang satu.

- Rumahku, Chairil Anwar -


Wan Nor Azriq, menerusi blog Kritikus Sastera, pernah menulis 'Percakapan Dalam Kamar Sapardi'; 

Percakapan di antara objek Sapardi tentang seseorang di sebuah kamar ialah percakapan di luar bahasa seseorang itu yang ingin mendengar percakapan dalam percakapan fikirannya, namun hanya mampu mendengar percakapan tentang percakapan seseorang itu. Ketika seseorang itu masih duduk dan menyedut asap rokok, dia tidak merasa perbezaan di antara dirinya dengan objek-objek tersebut kerana dia masih dalam proses penggunaan. Kerusi masih kerusi; rokok masih rokok. 

Perlahan-lahan urat belakang akan lenguh dan rokok di tangan akan semakin pendek. Dia berhenti menjadi pengguna dan kekurangan objek mula bangkit daripada tidur. Kerusi bukan lagi sekadar kerusi; rokok bukan lagi sekadar rokok. Tetapi dia tidak boleh memperkatakan kekurangan dan keanehan ini walaupun dia tahu ia ada dan wujud sebagai sesuatu yang tidak boleh diperkatakan di samping masih mempunyai keupayaan tersendiri untuk diperkatakan oleh sesuatu kata-kata yang baru dan puitis. 

'Sajak di Rumah' oleh Clariessa Kesulai juga bermain dengan objek seperti kasur, gelas dan piring. Clariessa menjelaskan selain faktor rumah, pembawaan suasana serta pengaruh yang baik dari luar perlu diseimbangkan dengan pemerhatian.

"Rumah ialah ruang kedamaian di mana kita berjumpa keluarga tersayang bahkan terdapat barang kesayangan kita juga. Jadi, sik hairan juak mun sebelum tok kamek pernah mengaku bahawa karya-karya kamek kebanyakkan ditulis di dalam rumah dan kini di bilik sewa kamek mpun. Jadi di sia lah, kamek sentiasa tenang untuk menghasilkan dan memperbaiki apa yang patut bahkan membaca buku pun rasa sik nyaman mun dipolah depan orang ramai," Jelas Clariessa.

Dalam jeda yang panjang, Clariessa membalas, "Bagi kamek, sajak ialah sebuah alam yang bebas bagi menyampaikan pelbagai nuansa dan rupa dalam pemikiran seseorang. Maka, sik hairan lain penyair lain gaya penulisan sajaknya. Sebaliknya mun disoal mengapa kamek menulis sajak, nang belum ada jawapan khusus untuk itu. Tetapi , kamek anggap sajak akan sentiasa mendidik pencintanya untuk berpandangan luas dan tajam merenungkan setiap hal yang hadir di sekeliling sidak nya."

Comments