PAMERAN SENI RUPA 'TUAN HAMBA' HAZUL BAKAR: NAKAL, BENYAI, GUNK PUNK


‘Abu Katak II, Media Campuran, 39cm x 22cm x14cm, 2022’

Foto: Ammar Idris
Teks: Zhafirin Zulkifli


Ketika sang kurator, Ammar Idris atau lebih dikenali sebagai Pakya menghubungi saya untuk ke sebuah galeri di tengah Kuala Lumpur untuk berkenalan dengan seniman seni rupa bernama Hazul Bakar, saya cuma menjawab “Ya. Nanti aku pi sana”, kemudian mendengar semula album Electric Frankenstein. Pakya kemudiannya emel kepada saya foto-foto karya yang bakal dipamerkan di pameran solo Hazul Bakar. Saya berkata dalam hati album Electric Frankenstein dan karya-karya Hazul Bakar bagai pinang dibelah dua. Cocok. Penuh dengan ketidaksempurnaan. Saya sukakan itu. Sesungguhnya kesempurnaan begitu membosankan.

Saya pernah dan sempat melihat proses Hazul Bakar ketika menyiapkan karya untuk pameran solo ini dan saya pernah bertanya kepada Hazul Bakar kenapa dia menggunakan guni dan bukan kanvas?
“Sebab aku pokai”. Jawab Hazul Bakar. Ketika saya mendengar jawapan tersebut, tuhan seolah membuka jalan untuk perjalanan seni beliau. Tetapi bukanlah jalan yang berturap kemas elok, tetapi jalan yang tidak berlampu jalan, tiada RnR yang selesa, tetapi tuhan tahu, Hazul Bakar akan berjalan dengan mudah, tanpa banyak songeh.

‘Di Kejar Ikan Aku Tidak Mampu’
Cat Minyak atas Guni Plastik
80cm x 49cm
2022


Karya – karya Hazul Bakar untuk pameran solo ini sepadan dengan lagu-lagu dari album kugiran punk Electric Frankenstein yang saya sedang dengar; ‘(You’re No) Superstar’, ‘Right on Target’, ‘Demolition Joyride’, ‘Fast & Furious’ dan ‘I Want More’. Hazul Bakar meraikan dunianya, kegelisahan, kenakalan, ketidakpuasan, meludah tepat ke muka. Lihatlah karyanya dan anda akan terus tahu siapa gerangan otai-petai, seperti apa dunia didiaminya, memarakkan api seorang - Hazul Bakar. Karya – karya Hazul Bakar juga mirip kata – kata Rainer Maria Rilke, “Pengkarya mesti menjadi sebuah dunia bagi dirinya sendiri dan mencari segala – galanya dalam dirinya sendiri dan dalam alam semulajadi yang dirangkulnya”. 

Hazul Bakar menjumpai dirinya sendiri. Karakter karya – karya Hazul Bakar menyerlah tetapi jauh dari kata sempurna, berani memaparkan dunia yang dipijak, jari tengah yang diangkat untuk setiap kepalatan, lidah yang terjelir merasa pahit manis seorang seniman.
Jelas, Hazul Bakar mempamerkan politik seorang seniman pokai, yang sarat dengan idea, rebel, tidak peduli, dan tanpa berselindung apa-apa. 

O tuhan!

PERJALANAN, PROSES DAN IDENTITI


‘Muka Buku, Media Campuran, 39cm x 22cm x14cm, 2022’


Hazul Bakar merupakan artis multi-disiplin dimana beliau banyak mengfokuskan kepada kepelbagaian bentuk seni seperti lukisan, catan, media campuran dan juga instalasi. Beliau membawa naratif peribadi dan juga sekeliling di dalam bentuk seni kontemporari untuk memberi nafas baru dalam pengapresiasian seni.

Pameran solo ‘Tuan Hamba’ ini adalah permainan kata dari Hazul Bakar. Hazul mewujudkan persoalan tentang adakah seorang seniman itu adalah seorang tuan atau seorang hamba? Ia menarik untuk melihat keseluruhan pameran ‘Tuan Hamba’ ini kerana Hazul ‘Benyai’ Bakar bukan saja berekplorasi dengan dirinya sendiri tetapi dua mata tajam melihat senario politik seni tempatan. Misalnya karya ‘Kalis Santau’ yang tertera gaya seorang seniman Jalaini Abu Hassan dengan lirik lagu Negaraku diatas cetakan digital tersebut.

Mesej ingin disampaikan adalah mata seorang Hazul Bakar melihat suasana seni tempatan terlalu berkiblat, terlalu menghormati dan ketakutan untuk mengkritik malah hanya berdiri tegak. 

‘Secara keseluruhan, karya-karya kecil Hazul Bakar membaca penceritaan peribadi beliau sebagai seorang seniman dan pandangan – pandangan yang perlu diambil perhatian mengenai situasi dan politik semasa seni tempatan……. Pencampuran elemen dan konteks visual yang absurd tidak menganggu beliau untuk mencipta naratif dengan gaya humor tersendiri’ – Ammar Idris, katalog pameran ‘Tuan Hamba’-

Hazul hanya menjadi Hazul. Seperti yang tertulis di katalog pameran ini ‘Hazul ingin mengenali Hazul’, Hazul menuang isi kepalanya dengan jujur, tanpa berselindung. Kurator, Ammar Idris, sempat memberitahu bahawa Hazul lebih tertarik dengan perjalanan, proses sepanjang berkarya untuk mengenali diri sendirinya dan tidak ada yang lebih menakutkan Hazul berbanding orang lain lebih mengenali dirinya. 

Hazul memiliki keupayaan teknikal yang baik tetapi seolah sengaja menunjukkan sisi ketidaksempurnaan pada karya-karya beliau. Pada awalnya, pameran ini menimbulkan persoalan kerana seolah terdapat dua bahagian, iaitu tentang Hazul Bakar dan kritikan terhadap ranah politik seni tempatan. Sengaja saya menggunakan ayat ‘ranah’ berbanding ‘industri’. Ngilu.

Selepas mengamati dengan lebih dalam karya – karya ini, kedua-duanya adalah jalan untuk Hazul Bakar lalui demi pertumbuhan identiti sebagai seorang seniman.
‘Untuk membezakan karya Hazul dengan karya yang terdahulu adalah perbezaan kefahaman estetika dimana beliau tidak mahu meromantiskan kecantikan…..tetapi beliau juga tidak mahu meromantiskan keburukan walaupun secara lahariahnya beliau berjaya membawa perkara tersebut’ – Ammar Idris, katalog ‘Tuan Hamba’


‘Siapa Gelak Masuk Neraka, Cat Minyak atas Kanvas, 162cm x 313cm, 2022’

Tepat jam 420 petang, Hazul Bakar membuka pameran ‘Tuan Hamba’ ini dengan performance art, bermonolog diiringi tiupan rekoder dan runut bunyi filem ‘Titanic’ dihadapan karya beliau yang bertajuk ‘Siapa Gelak Masuk Neraka’. Hazul Bakar memberikan audiens humor sambil memerhati respon audiens, tentunya menumpahkan persoalan-persoalan dan membenarkan audiens tidak senang duduk dan berdiri.

Masa depan tidak menjanjikan apa-apa selain kehancuran. Apakah konsep, subjek karya-karya Hazul ‘Benyai’ Bakar pada masa akan datang? Adakah ingin mengenali dirinya lebih mendalam atau menyajikan 1001 cerita politik seni tempatan yang turut diduduki oleh kolektor dan seniman horny?

Jika anda ingin ke pameran solo ‘Tuan Hamba’ oleh Hazul Bakar ini, pameran sedang berlangsung di Creative Art Hub, Sunway Putra Mall, sehingga 28 Jun 2022 dan boleh hubungi Ammar Idris di talian 0164740690 untuk butiran lebih lanjut mengenai pameran Tuan Hamba. 


 







 

Comments