SISI SUNYI KARYA MOHD JAYZUAN DALAM FILOKALIS

 



Teks oleh: Zhafirin Zulkifli
Foto oleh: Mohd Jayzuan

Mohd Jayzuan seorang seniman multi-disiplin bergiat aktif dengan scene sejak lewat 90an semasa masih bersekolah menengah. Salah satu cabang seni utamanya adalah muzik dan beliau telah menghasilkan beberapa album, EP, kompilasi menggunakan pelbagai moniker antaranya Bloodymary, Free Love dan yang terkini, Joni Mustaf. Kali terakhir beliau mengeluarkan album pada Disember 2019 melalui alter-egonya; Joni Mustaf yang lebih fokus pada muzik eksperimental, album berjudul ‘Sorry, Poor Connection’ diterbitkan hanya untuk pasaran Indonesia oleh artis-kolektif; ruangrupa. Sebuah lagu
bertajuk ‘\\nyandor\\’ juga baru dikeluar pada 15 September 2021, satu projek seni Joni Mustaf bersama Mekong Cultural Hub (Taiwan), British Council (UK) dan Helvetas (Switerzerland).

‘Filokalis’ adalah album solo ketiga Mohd Jayzuan setelah dua buah album terdahulu ‘Love-Fi’ (Bodysurf Music, 2008) dan ‘Pop n’ Roll’ (Projek Rabak, 2015). Terbitan yang menggunakan ‘Mohd Jayzuan’ lebih dekat dengan sisi singer-songwriter beliau.

Ada banyak lagu yang saya dengar sejak awal tahun 2019 sehingga sekarang, cuba untuk menciptakan kesunyian ke dalam karya mereka tetapi akhirnya, dipertengahan atau dipenghujung, pasti ada kebingitan yang terdengar. Entah dari kota yang mereka tinggal atau ledakan emosi yang tak tertahan.

Ketika mendapat Whatsapp dari Mohd Jayzuan perihal 'Filokalis', dalam kepala saya cuma berfikir, 'entah eksperimen apa lagi Jay nak buat?'. Di sisi seorang Mohd Jayzuan yang saya kenal, Jay bukanlah orang yang bersederhana dengan dakwah-dakwah seninya. Ketika membuka balutan plastik album 'Filokalis' ini, di bahagian lirik, saya terjumpa perkataan rindu, ada Februari, ada seksi, ada kening, ada dada, ada green tea, ada senja, di bait - bait lirik dalam album 'Filokalis' ini. Saya membayangkan ini akan menjadi sebuah lagi, dalam senarai yang panjang, karya sunyi yang bingit dalam romantisme senja.

Album ‘romantis-pop’ ini hanya dirakam oleh Mohd Jayzuan dan rakan lamanya; Adink Permana, seorang produser dan pemuzik asal Jakarta yang pernah terlibat dengan rakaman band seperti Sore, Payung Teduh, Harlan Boer, Noh Salleh, Ayushita dan beberapa lagi.

Mohd Jayzuan merakamkan semua bahagiannya di Nagarakota, Lumut dan dijuruterakan oleh Mohd Najmi Jamaluddin dan Adink Permana merakamkan bahagiannya di Ecoando Sons, Jakarta. Album diadun Dzulky Sunarya dan mastering oleh Solideo Kevin yang keduanya dilakukan di Sine Studio, Jakarta. Rekabentuk album oleh Redzuandy Ramli, seorang seniman grafik kegemaran Mohd Jayzuan.

'Filokalis' mengandungi lima buah lagu; 'Telang Ungu', 'Dhanjelita', 'Februari, 11', 'Rintih Pesan' dan 'Anya'. Menurut Mohd Jayzuan, ‘Filokalis’ adalah sebuah album yang sangat intim dan paling peribadi
pernah dihasilkan. Ianya sebuah album berkonsep untuk merakam kewujudan seorang sosok istimewa. Proses pembikinan ‘Filokalis’ adalah proses penyembuhan dan penjelmaan baru. 

Adink yang mengenali Jayzuan sejak 2009 berkata, “album ini bukan lagu, ianya fervent prayer.”

Soal sisi sunyi, 'Filokalis' bukan tentang merenung, hisap rokok, minum kopi, arghh Jesus Christ, 'Filokalis' tidak akan membawa anda ke situ, dari lagu pertama dimainkan, sehingga ditutup oleh lagu terakhir,'Anya', Mohd Jayzuan sepenuhnya bercerita, memaknakan setiap bait, menari lembut dengan tubuh, dihujan pagi, mengucup kening, menghargai setiap perhubungan makna - bait liriknya. Secermat itulah lagu-lagu dalam 'Filokalis'ini.

'Filokalis' tidak berlebihan, sungguh sederhana, 'cahaya' dalam lagu ini juga menyenangkan, saya cuba mengelak untuk menggunakan perkataan 'estetika' untuk album ini, cantik yang menikam, dan penuh kaseh.

Jika anda fikir saya akan membuat ulasan satu - persatu lagu dalam 'Filokalis', lupakan, album ini menurut saya, tidak menyediakan hal yang terasing, 'Filokalis' adalah realiti perasaan manusia yang sering mengganggu kita dalam satu masa yang sama, hal - hal yang susah untuk kita tumpahkan dimana - mana dan tanpa sedar, kita akan membiarkan saja 'Filokalis' ini berkumandang.

Untuk info, 'Filokalis' akan dirasmikan pada 19 Oktober 2021. Album ini diterbitkan oleh artis-kolektif; Projek Rabak, album ini mendapat bantuan PORT Ipoh dibawah Dana Kreatif Perak. Taja Archive pula bertanggungjawab menyelia hal-hal digital dan publishing. Sementara Dream Projects menguruskan jualan atas talian yang boleh dihubungi di 0112-094-7544.  Apabila ditanya mengapa menjual album dengan hanya RM10, Jayzuan menjawab, “Ian MacKaye suruh.”



Comments