KYOTO PROTOCOL MENJANJIKAN KELAINAN DALAM RILISAN TERBARU, 'NOTHING LAST FOREVER'




Kyoto Protocol bakal tampil dengan single terbaharu mereka berjudul “Nothing Lasts Forever” yang akan dilancarkan pada 3 Jun 2021 selepas album terakhir mereka pada 2018 iaitu “The Pen is Mightier”. Menurut Fuad, penghasilan lagu ini merupakan satu eksperimen peribadi yang amat teliti terutama dalam proses penulisan lirik. Beliau amat berharap lagu ini mendapat sambutan yang memberangsangkan walaupun industri muzik dan seni negara kita masih terkesan dengan impak pandemik Covid-19.

Selaku ketua kumpulan merangkap penyanyi utama Kyoto Protocol, Fuad berkata “Tajuk lagu ini tercetus semasa saya sedang mendengar lagu-lagu muzik kontemporari dan pada masa yang sama rasa bimbang memikirkan keadaan industri muzik.” Jelas Fuad lagi, “Saya membesar dengan mendengar lagu-lagu dari kumpulan muzik yang hebat dan saya kagumi seperti Pearl Jam, Soundgarden, Stone Temple Pilot, dan Nirvana. Dipengaruhi oleh sepupu yang membesar bersama saya, lagu-lagu dari kumpulan ini menjadi halwa telinga dan kerap dimainkan di walkman peribadi saya. Walaupun mereka boleh dikategorikan sebagai kumpulan lama dan sudah dianggap klasik, namun mereka telah menjadi inspirasi yang membentuk siapa saya pada hari ini. Lagu-lagu dari kumpulan ini akan sentiasa saya nantikan di corong radio untuk dirakam ke dalam pita kaset supaya boleh didengar semula kerana pada zaman itu masih belum ada sistem muat turun lagu atau aplikasi muzik mudah alih seperti sekarang. Muzik hebat yang dihasilkan mereka masih segar dalam ingatan saya.”





Lirik lagu ini berkisarkan tentang penghargaan kepada para pemuzik yang telah pergi selamanya. “Mereka banyak mengajar saya tentang keterbukaan moral dan berfikiran dengan lebih matang, kritis dan kreatif. Tidak salah rasanya untuk saya mengapresiasikan lagu ini kepada mereka kerana sudah tidak ada peluang lagi untuk saya melihat persembahan mereka di depan mata. Generasi sekarang perlu lebih menghargai dan mencontohi semangat mereka dalam apa cabaran yang dilalui dalam kehidupan” tambah Fuad.

Lagu “Nothing Lasts Forever” boleh mula di didapati di semua pelantar digital dan aplikasi penstriman muzik seperti Spotify, iTunes dan Apple Music bermula pada 3 Jun 2021.

Comments