GLISTENING REDCHAIR KELUARKAN ALBUM TERBAHARU “CELESTIAL”




Glistening Redchair (GRC) ialah sebuah kolektif muzikal diterajui oleh Gheff Abd Ghafar dan bertapak di Seri Iskandar, Perak. Beliau berkolaborasi dengan pelbagai rakan-rakan pemuzik yang lain dalam menulis, menerbitkan, dan mempersembahkan muzik original beliau. Teras utama bunyian GRC terinspirasi daripada alternative rock/metal; secara khususnya, muzik gitar berat daripada zaman alternative 90an dan 2000an dan berkecenderungan terhadap sludge seperti Deftones, Melvins, dan Alice in Chains. Sehingga kini, GRC telah konsisten mengeluarkan material setiap tahun sejak penubuhannya. Antara rilisan yang lebih dikenali umum ialah EP grunge metal “Guide Us into Believing” dan EP seterusnya “Therapist” yang lebih kotor dan berat daripada segi bunyi dan konsep.

Pada tahun 2019, GRC telah menjayakan sebuah jelajah mini untuk mempromosikan EP “Therapist” yang melibatkan persembahan di pelbagai pusat gig di seluruh Semenanjung Malaysia. GRC juga aktif dalam menjadi band sokongan untuk pemuzik lain yang membuat jelajahan; antaranya ialah band grunge terkemuka tanah air maddame..., duo post-punk dari UK/Jerman Das Fluff, dan band punk rock Singapura Take-Off.

Sebelum merilis album terbaru “Celestial”, GRC terlebih dahulu meriliskan dua single untuk promosi iaitu “Elaborate Dreamy State” dan “Portals”. Sementara itu, Gheff juga menulis untuk Junklist Digest, sebuah majalah fizikal terbitan Junklist. Beliau juga ialah penasihat sebuah badan pelajar yang mengetengahkan bakat muzik di Universiti Teknologi Petronas.


Kolektif alternative metal Seri Iskandar, Glistening Redchair (GRC) telah mengeluarkan album terbaharu bertajuk “Celestial”. Album ini boleh didengar di sini:



Album ini ditulis sepenuhnya oleh Gheff Abd Ghafar (vokal/instrumen/produksi) ketika bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sempena pandemik COVID-19 pada tahun 2020. Album ini ialah rilisan penuh ketiga selepas “Guide Us into Believing” dan “Therapist” yang dikeluarkan pada Mei 2017 dan Julai 2018 sebelum ini. “Celestial” meneruskan tradisi GRC iaitu penceritaan berpaksikan sesuatu tema atau konsep dalam albumnya; kali ini, Gheff membawa para pendengar ke dalam sebuah perjalanan merentasi angkasa lepas dalam album yang berdurasi 31 minit ini. Di sebalik tema angkasa lepas yang ditonjolkan untuk “Celestial”, terdapat penceritaan yang menyentuh pelbagai topik, contohnya kerumitan hidup manusia, keburukan hawa nafsu, dan menerima hakikat kematian. Semua ini digandingkan dengan bunyian gitar fuzz raksasa dan hentakan dram padu yang diperincikan oleh sentuhan daripada Anwar Husaini (adunan dan mastering).

“Celestial” semestinya memanggil-manggil pendengar untuk menekan butang ‘ulang’ setelah selesai mendengarnya buat kali pertama.

Comments