SHUKOR MOLA: RILISAN MUZIK, SEBUAH PERJALANAN


Foto: Shukor Mola
Teks: Zhafirin Zulkifli

"Sejak sekolah lagi aku suka beli kaset. Biasanya aku beli kaset di Kuching masa cuti sekolah sebab di kampung (Spaoh) tidak ada kedai muzik, kalau ada pun kedai elektrik selit sedikit beberapa kaset." Imbau Shukor Mola ketika mula mengumpul rilisan fizikal, khususnya kaset ketika itu.  "Kaset pertama aku beli Foo Fighters 1997. Tak pernah terpikir pun nak mengumpul sebab aku beli sebab suka mendengar muzik."

Masa study Politeknik Kuching 1998, aku still beli kaset sehinggalah aku habis study di Poli. Duit pinjaman masa study mostly untuk beli kaset dan zine music. Bila dah mulai bekerja baru dapat beli CD dan sampai sekarang masih beli CD. Recently aku selalu beli vinyl LP." Jelas Shukor Mola, juga menceritakan banyak kekangan di suatu masa dahulu, antaranya masa sekolah, dapatkan duit melalui abang dan kakak untuk mendapatkan rilisan yang diminati namun setelah bekerja, Shukor Mola mula mendapatkan rilisan-rilisan yang ingin dimiliki sejak seusia lalu. Antara rilisan lokal yang dimiliki awal oleh Shukor Mola adalah Butterfingers (Butter Worth Pushful, 1997).

"Di Kuching, sekitar akhir 90an banyak kedai muzik. Tempat aku selalu beli kaset dan CD, selalunya di City Music (Hopoh), Dallas (Kuching Plaza), Mahua (Sarawak Plaza), Rockin (Lorong area bus stop pasar) dan kedai muzik berdekatan Saujana." Kata Shukor Mola, turut menceritakan di City Music ada kenangan lucu pernah bertengkar dengan pemilik kedai tersebut mengenai rilisan CD Tool. "Aku paling suka aku beli CD di Dallas. Tauke Dallas selalu juga bertanya tentang CD yang menarik dan dia akan tolong aku order CD. Pertengahan tahun 2000 barulah aku beli CD di Kenyalang dan sekarang aku banyak beli melalui online."

Selain mengagumi rilisan Satelit Ink dari OAG, yang diakui Shukor Mola sebagai antara album melayu terbaik, beliau turut mengagumi rilisan lagu Wetnurse, yang bertajuk Pua Kumbu selain rilisan-rilisan seperti Boys & Girls 1+1=3, Nicestupidplayground (My Life is my parent biggest television), OAG (Old Automatic Garbage) dan The Times (Soda Pop Rock n' Roll).

Foto: Shukor Mola di salah sebuah kedai CD di Kenyalang sebelum diberhentikan operasi

Mengenai rilisan yang baik, menurut Shukor Mola, "Aku suka vinyl first press sebab sound lebih sedap." Kata Shukor yang berseloroh, angkara terjebak dari Mady, juga seorang penggemar rilisan fizikal. "Mady jual vinyl Blur 13 first press, sejak itu, aku mula minat untuk beli vinyl first press. Harga mahal tapi kalau pandai cari boleh dapat harga yang mampu dimiliki."

Kaset pula aku lebih suka local press. Dahulu, kaset local press senang untuk didapati, berbeza dengan rilisan import yang agak susah untuk didapatkan. Untuk CD, aku lebih suka import, bergantung  dengan album, di mana bunyian yang terdapat dalam CD import lebih solid." Jelas Shukor Mola, turut kagum dengan perkembangan semasa skena bawah tanah di Kuching. Antara kugiran yang jadi perhatian Shukor Mola adalah seperti Polar, Kugiran A. Sazali, South China Sea, Rey Rey da Silwayd. 


Comments

Post a Comment