Aku pesan hot mocha dan Ice Chocolate. Brader barista kata okey. Dia suruh duduk dulu, aku senyum dan sempat menjeling beberapa lukisan dan vinyl dalam kafe. Tahun lepas, pernah sekali borak dengan pemilik kafe, seorang arkitek. Katanya, kafe ini untuk buat duit poket tambahan mencari keseronokan yang baru. Seingat aku, lukisan yang berada di hujung kafe bernilai 5K. Aku buat muka kagum masa tu. Aku tak pandai menilai karya seni-lagi-lagi lukisan. Agak sukar untuk aku memahami penilaian sesuatu karya lukisan dibuat. Boleh jadi, lukisan tersebut memang berbaloi dengan harga sebegitu.
Aku kembali ke meja. Dia belek fon kemudian berhenti rutin tersebut, letak atas meja. Oh ya, hampir terlupa perkenalkan dia-yang seharian menemani aku hari ini, menonton filem secara marathon. Nama dia, F-A. Sengaja aku tidak mendedahkan namanya. Cukup kau kenali dia sebagai F-A. Aku mengenalinya selepas reply beberapa tweet. Beberapa bulan selepas itu, aku mengajaknya keluar dan dia setuju. Cukup sampai disini kau mengenalnya.
Aku bagitau dia ini salah satu kafe favorit. Tenang dan senyap. Dia cuma balas cool sambil matanya melilau memandang sekeliling dengan beribu soalan, penuh kekeliruan. Demi tuhan, dia nampak cantik walaupun wajahnya menceritakan segala-galanya. Seolah lirik lagu Radiohead-Creep tertulis diwajahnya.
"What the hell am I 'doing here?
I don't belong here"
Kebetulan disebelah kanan ada sebuah poster album Radiohead-OK COMPUTER. Salah sebuah album kegemaran peribadi. Dia fokus semula kearah aku. Aku masih tak mengeluarkan apa-apa suara. Aku masih memandang dalam-wajahnya. Persetankan sebuah lagu, Jatuh Cinta Itu Biasa Saja. Jatuh cinta adalah perasaan luarbiasa.
Minuman yang dipesan tiba. Aku berhenti pandang F-A. Aku capai minumannya dan hulurkan kepadanya. Pendekkan cerita, banyak hal yang kami bualkan, dari hal-hal kehidupan masa silam yang hadir sebagai memori, masa depan yang menakutkan dan hal ekonomi semasa. Jam menunjukkan 7 malam, sepatutnya kafe ini berhenti beroperasi tapi disebabkan hujan lebat yang mustahil untuk kami berganjak ke stesen LRT, satu-satunya barista yang bekerja di kafe tersebut bagi signal tiada apa yang perlu dirisaukan. Tenang saja. Anda boleh lepak disini hingga hujan reda. Seolah-olah itu yang diperkatakan oleh gestur barista tersebut. Selang seminit-dua minit, segalanya berlaku dengan pantas, lagu Payung Teduh kedengaran dalam kafe. O tuhan!
Aku pandang kiri kanan hanya kami berdua dalam kafe. Dan barista. Aku bagitau dia yang aku pernah tweet-terbayang duduk di kafe bersama perempuan kesukaan dan ditemani lagu-lagu Payung Teduh atau Asteriska. Pilihan yang boleh dimaafkan, GerSit. Aku bagitau dia lagi, bila-bila masa dari sekarang, aku bersedia jatuh cinta. Dia ketawa kecil sambil mengeluarkan satu borang dan sepertinya sebuah katalog dari beg.
"you" dia masih lagi ketawa dan tangannya menutup mulut. "Kalau you jatuh cinta, you perlukan insuran, ada beberapa pakej untuk patah hati. I ada sediakan untuk orang seperti you-mahu jatuh cinta." "Mungkin you boleh langgan salah satu pakej dari syarikat insuran I bekerja sekarang. Demi masa depan yang tenang." katanya.
Aku turut ketawa demi mengelak rasa awkward dan habiskan minuman. O tuhan, bilakah hujan akan reda?
Comments
Post a Comment